Islam itu agama yang sempurna, tiada tolok bandingnya, kurniaan Allah SWT kepada hamba-hambanya yang beriman.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah :

(5.3) … Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan ni’mat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu …

Ayat berkenaan merupakan ayat terakhir Al-Qur’an yang telah diturunkan pada hari ‘Arafah, iaitu hari Jumaat bersempena dengan ‘Aidil Adha, tahun ke-10 Hijrah, iaitu semasa Hajjatul Wida’ (Haji Terakhir) baginda Rasulullah SAW dan disampaikan pada penghujung khutbah baginda.

Dengan penurunan ayat berkenaan, ini menandakan bahawa syariat Islam telah disempurnakan sejak 1422 tahun yang lalu. Segala yang disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah merupakan kebenaran dari Allah SWT, tanpa mengandungi sebarang unsur penipuan mahupun percanggahan. Segala yang telah dihalalkan adalah halal selama-lamanya, segala yang telah diharamkan adalah haram selama-lamanya, dan segala syari’at dan hukum Islam itu kekal tanpa perlu ditokok-tambah sehingga ke Hari Qiamat.

Apabila disingkap lembaran sirah pada hari yang dimaksudkan, dengan pemasyhuran ayat berkenaan, maka bercucuranlah air mata para ummul mu’mineen, para ahlul bayt dan para sahabat kerana ia juga memberi petanda bahawa hari kewafatan baginda (SAW) juga telah hampir tiba. Rasulullah SAW wafat di Madinah al-Munawwarah, selang 3 bulan dan 3 hari selepas penurunan ayat itu.

Lihatlah bagaimana reaksi mereka yang beriman dengan Allah SWT dan mengasihi Rasul-Nya, menyambut penurunan ayat terakhir berkenaan. Adakah kita juga menitiskan air mata sedemikian rupa ?

Malahan pada hari ini ramai lagi yang masih mempersoal dan mempertikaikan syari’at dan hukum Islam yang telah dilengkapkan sejak 1422 tahun lalu. Lihatlah mereka yang mengaku Islam tetapi memandang rendah ‘ibadah solat,  tidak menyempurnakan puasa, tidak membayar zakat, menolak syar’iat hijab, dan sebagainya. Malahan yang lebih teruk lagi, ada golongan yang menolak nas-nas hadith yang telah diriwayatkan sebagai contoh dan sunnah dari Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah :

(2.208) Wahai orang-orang yang beriman ! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang lagi nyata.

(2:209) Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Sekiranya kita benar-benar beriman dengan Allah SWT dan agamanya, maka terima dan laksanakan secara menyeluruh, akan segala apa yang telah disampaikan kepada kita melalui Rasulullah SAW. Janganlah kita terpedaya dengan tipu daya Syaitan. Sesungguhnya syaitan dan kuncu-kuncunya telah bersumpah akan sentiasa berusaha memesongkan anak-anak Adam (AS) dan menambahkan bilangan ahli neraka sehingga saat sangka kala ditiupkan.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzaab :

(33.36) Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mu’min dan tidak (pula) bagi wanita yang mu’min, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

Ayat ini memperjelaskan bahawa usaha mempertikai mahupun menolak sebarang ketetapan Allah SWT dan Rasul-Nya adalah diklasifikasikan sebagai menderhakai Allah SWT. Golongan yang sesat ini hanya membuka laluan ke pintu neraka. Na’uzubillahi min zaalik.

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisaa’ :

(4.65) Maka demi Tuhan kamu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim (wahai Muhammad) terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima (keputusan itu) dengan sepenuhnya.

Maka hakikatnya, belum sempurna keimanan seorang muslim itu selagi dia tidak menerima segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW, dengan sepenuh hati.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah :

(2.216) Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Salah satu daripada 99 nama Allah SWT adalah Al-‘Alim, iaitu Maha Mengetahui. Maka sedemikian itu juga setiap syari’at dan hukum dalam agama Islam, hanya Allah SWT yang lebih mengetahui mengapa diputuskan sedemikian. Ini adalah kerana tidak semua ilmu-Nya diperturunkan kepada umat manusia untuk difahami. Kita sebagai makhluk tidak mengetahui sepenuhnya segala hikmah dan kebaikan dalam setiap syari’at dan hukum Allah SWT.

Lihatlah  bagaimana ilmu berkenaan persenyawaan sperma dan ovum sehingga menjadi fetus dan seterusnya lahir ke dunia sebagai anak-anak kita. Ilmu ini telah diwartakan di dalam Al-Qur’an pada 1432 tahun lalu, tetapi manusia hanya memperolehi bukti-bukti saintifik pada penghujung era 1800-an. Banyak lagi ilmu yang disampaikan di dalam Al-Qur’an, yang mungkin hanya akan berjaya dikaji secara saintifik oleh generasi-generasi akan datang.

Maka sekiranya kita benar-benar beriman, yakinlah dengan Allah SWT selaku penentu Qada’ dan Qadar setiap makhluk ciptaan-Nya. Redhalah dengan ni’mat Islam dan iman kurniaan Allah SWT demi menuju Jannatul Firdaus.

Abu Farhan @ 15.4.2011, 23.37